PERSATUAN PERUBATAN PSIKOLOGI KELANTAN

Wednesday, 25 January 2017

Monday, 10 October 2016

MENTARI@USM : PUSAT SEHENTI KHIDMAT PSIKIATRI

MENTARI@USM : PUSAT SEHENTI  KHIDMAT PSIKIATRI

KUBANG KERIAN, KELANTAN, 10 Oktober 2016 –  Mentari@USM di bawah Jabatan Psikiatri Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) mula beroperasi pada Januari 2016 sejajar dengan kehendak Akta Kesihatan Mental 2001 yang mewajibkan sebuah Jabatan Psikiatri menyediakan pusat kesihatan mental bagi mendekatkan masyarakat kepada perkhidmatan psikiatri.

Mentari@USM memainkan peranan sebagai pusat sehenti psikiatri yang menyediakan penjagaan dan rawatan berkaitan kesihatan mental merangkumi perkhidmatan saringan kesihatan mental, mendiagnosa,  memberi rawatan awal dan pemulihan kepada sesiapa yang mengalami sebarang jenis penyakit mental.

Dekan Pusat Pengajian Sains Pergigian, Profesor Dr. Adam Husein yang mewakili Pengarah Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato’ Dr. Mafauzy Mohamed melancarkan unit ini berkata, masyarakat yang mengalami  permasalahan mental dan emosi boleh hadir ke Mentari@USM tanpa surat rujukan bagi memudahkan mereka mendapatkan rawatan di samping mengurangkan stigma.

“Di bawah Mentari@USM terdapat beberapa aktiviti pemulihan di samping melatih pesakit ke arah perkembangan ekonomi, antaranya ‘Bengkel Cuci Kereta Mentari@USM’ yang melatih kira-kira 10 pesakit menumpu perhatian, menjalankan aktiviti fizikal serta memupuk kesabaran melalui aktiviti mencuci kereta dan mereka diberi insentif atas usaha mereka itu.

“Selain itu, ‘Mentari@USM Rest Corner’ pula ialah sebuah kafe mini yang menjadi pusat latihan pesakit  berkomunikasi dengan masyarakat dan menimba ilmu perniagaan secara kecil-kecilan dan sehingga kini terdapat beberapa pesakit diambil bekerja di ‘Mentari@USM Rest Corner’ untuk melatih mereka dalam aspek komunikasi dan asahan kognitif sehingga mereka yakin untuk bekerja di dunia luar secara kompetitif dengan masyarakat,” katanya lagi.

Menurut Adam, Mentari@USM turut memberi peluang kepada pesakit yang berminat untuk membuat roti dan biskut menyertai aktiviti di ‘Bakeri@MentariUSM’ yang memberi latihan membuat sesuatu perancangan, meningkatkan tumpuan, latihan fizikal, kesabaran dan  menjana ekonomi pesakit secara tidak langsung.

“Pelbagai aktiviti boleh dilakukan oleh pesakit di Mentari@USM untuk membantu mereka dan keluarga kerana unit ini mengamalkan konsep penjagaan harian dan rumah kelab bagi mengurangkan pembaziran masa pesakit di rumah tanpa aktiviti serta mengurangkan kemungkinan menjadi relap.

“Mentari@USM beroperasi pada setiap hari Ahad hingga Rabu daripada pukul 8.10 pagi hingga 4.40 petang di Tingkat 2, Bangunan Pusat Trauma & Kecemasan, Hospital USM,” jelasnya lagi.

Adam berkata, antara perkhidmatan lain Mentari@USM ialah mengadakan aktiviti promosi kesihatan mental, saringan dan pengesanan awal penyakit mental, memberi intervensi awal dan segera untuk mengelakkan penyakit menjadi serius dan sukar dirawat.

“Selain itu, Mentari@USM juga menyediakan perkhidmatan pasukan kesihatan mental komuniti  yang merawat pesakit di dalam komuniti mereka sendiri selain turut menyediakan pelbagai intervensi psikososial seperti sokongan keluarga, pendidikan pesakit, kaunseling, relasasi,  terapi kumpulan dan pelbagai lagi mengikut keperluan pesakit.

Yang turut hadir dalam program ini ialah Timbalan Pengarah Kanan Klinikal, Hospital USM, Dr. Nik Min Ahmad, Ketua Jabatan Psikiatri, Pusat Pengajian Sains Perubatan USM, Dr. Asrenee Ab Razak, Pengerusi Jawatankuasa Majlis Penutup Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia, Peringkat Kampus Kesihatan USM merangkap Yang Dipertua Persatuan Perubatan Psikologi, Kelantan (PERSIKOL), Dr. Maruzairi Husain dan Ketua Unit Mentari@USM, Dr. Nor Asyikin Fadzil.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Mohd Ridzuwan Ramly

KESAN TRAUMA DALAM KANAK-KANAK BOLEH BERLAKU SEHINGGA TEMPOH DUA TAHUN

KESAN TRAUMA DALAM KANAK-KANAK BOLEH BERLAKU SEHINGGA TEMPOH DUA TAHUN

KUBANG KERIAN, KELANTAN, 10 Oktober 2016 -Kesan trauma dalam kalangan kanak-kanak boleh berlaku sehingga tempoh dua tahun selepas tragedi. Berdasarkan kajian yang dibuat di Thailand selepas tsunami  terdapat lebih kurang 15% daripada kanak-kanak sekolah yang masih mengalami trauma walaupun tsunami tersebut telah berlaku dua tahun sebelumnya.

Pensyarah dan Pakar Psikiatri, Pusat Pengajian Sains Perubatan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Maruzairi Husain berkata, tidak semua mangsa yang terlibat dalam tragedi akan mengalami trauma.

"Ramai daripada mereka mungkin mengalami trauma secara sekejap iaitu 'Adjustment Disorder' atau 'Acute Stress Reaction' namun lebih kurang 25% daripada keseluruhan mangsa akan mengalami trauma yang berpanjangan," katanya semasa menyampaikan ceramah di Majlis Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia Peringkat Kampus Kesihatan USM pagi tadi.

Berdasarkan kajian beliau di bawah Geran Penyelidikan Kementerian Pengajian Tinggi berkenaan dengan kesan psikologi mangsa banjir 2014 di Sekolah Menengah Kebangsaan Temangan dan Sekolah Menengah Kebangsaan Manek Urai mendapati pelajar-pelajar sekolah masih lagi mengalami trauma walaupun kajian tersebut telah dibuat selepas enam bulan banjir berlaku.

Menurut Maruzairi, terdapat beberapa faktor yang memberi kesan psikologi ke atas mangsa banjir kanak-kanak di Kelantan iaitu terpaksa berpindah daripada rumah, tinggal di pusat pemindahan, kesukaran selepas banjir seperti kemusnahan rumah, harta benda dan peralatan persekolahan.

"Kanak-kanak tidak dapat memberitahu perasaan mereka yang sebenar seperti murung, sedih, takut dan sebagainya akibat kesan trauma namun ia boleh dilihat melalui perubahan tingkah laku mereka yang berbeza daripada biasa," ujarnya.

Tambah Maruzairi, bagi mendekati kanak-kanak yang trauma perlu ada seni berkomunikasi yang baik dan persediaan dari segi pengetahuan tentang bantuan kecemasan psikologi kerana kanak-kanak perlu pemerhatian yang teliti untuk memahami mereka.

"Kaedah yang perlu dilakukan adalah seperti menyantuni mereka dengan mendengar sepenuh perhatian, melindungi mereka kerana mereka adalah golongan yang lemah dan cuba menghubungkan mereka dengan komuniti tertentu atau bawa mereka ke tempat yang boleh menghilangkan perasaan trauma seperti padang permainan dan sebagainya," katanya lagi.


Teks : Mohd Hafiz Yaacob / Foto : Abdul Aziz latif

Saturday, 30 April 2016

Welcome to PERSIKOL. 


PERSIKOL stands for PERSATUAN PERUBATAN PSIKOLOGI, or PSYCHOLOGICAL MEDICINE ASSOCIATION. It is a voluntary organization, established to offer support to people with psychiatric illnesses and their families.
 

This web site is especially created for PERSIKOL's members, as well as the general public. It is hoped that it will be a site where the psychiatric care givers and their clients contribute their articles on topics related to PSYCHOLOGICAL MEDICINE.
 
KLIK PAUTAN SEBELAH KANAN UNTUK MAKLUMAT LANJUT
 CLICK ON THE LINKS ON THE RIGHT SIDE OF THE PAGE TO ACCESS FURTHER INFORMATION