HARI KESEDARAN KEMURUNGAN BANTU PULIH EMOSI MANGSA BANJIR
KUALA KRAI, 9 April 2015
- Tiga bulan berlalu, namun trauma masih menghantui sebilangan besar
mangsa-mangsa banjir yang terjejas di Kuala Krai. Akibat daripada
‘tsunami darat’ itu, bukan sedikit kesan yang ditinggalkan. Malah di
seluruh Bandar Kuala Krai, rata-rata masih dapat dilihat kemusnahan yang
berbaki.
Mata
melihat kemusnahan yang ada, namun jiwa yang terkesan, kemelut di dada
masih berbekas akan terus berdarah tatkala memikirkan bagaimana untuk
kembali bangkit membuka lembaran baru kehidupan. Kemurungan mula
menguasai diri dan emosi tidak lagi seperti sediakala.
Memahami
perasaan mereka yang terlibat, para pakar dan petugas Jabatan Psikiatri
Hospital Universiti Sains Malaysia (Hospital USM) dengan kerjasama
“Malaysian Psychiatry Association’ (MPA) mengadakan Hari Kesedaran
Kemurungan 2015 di Dewan Sri Guchil, Kuala Krai, Kelantan.
Dengan
bertemakan ‘Kebangkitan Daripada Keruntuhan’ usaha dibuat untuk
membantu seramai mungkin mereka yang terjejas dengan musibah banjir ini.
Pengerusi
Jawatankuasa Penganjur, Dr Sharifah Zubaidiah Syed Jaapar memberitahu,
program ini bertujuan membantu memberi kesedaran awal dari segi emosi
kepada penduduk yang terlibat dengan banjir kerana sebilangan besar
daripada mereka seolah-olah hilang keyakinan dan kekuatan sedangkan itu
adalah tunjang untuk kelangsungan kehidupan.
“Program
ini memberi tumpuan kepada trauma dan kesan trauma ke atas individu,
keluarga dan masyarakat selain membantu mereka memulihkan emosi kerana
sudah banyak pihak yang membantu dari segi fizikal dengan memberi
pendedahan awal cara untuk mengurus tekanan, ke mana hendak dituju untuk
dapatkan rawatan dan pencegahan malahan mereka yang pernah mengalami
kemurungan boleh membantu individu lain dengan berkongsi pengalaman
mereka sendiri,” jelas Sharifah Zubaidah.
Tambahnya
lagi, pihaknya mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak dalam
melaksanakan program ini dan menjadi harapan Jabatan Psikiatri untuk
mengadakan program seumpama ini pada masa hadapan di jajahan-jajahan
lain yang turut terlibat dengan banjir.
Pemilihan
Kuala Krai sebagai lokasi sangat bertepatan memandangkan jajahan
tersebut adalah yang paling teruk terjejas akibat banjir. Seramai
70,035 mangsa daripada 1,407 keluarga telah terjejas akibat daripada
banjir yang melanda dan melumpuhkan 80 peratus jajahan Kuala Krai.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 1,257 keluarga kehilangan rumah
sepenuhnya.
Peserta
program yang juga mangsa banjir, Mohd Abd Ghani Suhaimi, 64, ketika
ditemui berkata, program sebegini dapat membantu beliau memulihkan
kembali semangat yang hilang dan mencari sinar kebahagiaan.
"Setelah
mengharungi musibah banjir dan kehilangan seorang cucu akibat dibawa
arus semasa 'Bah Kuning' sememangnya memberi kesan dalam diri saya
kerana sehingga hari ini saya masih belum mendapat khabar berita
mengenai beliau namun saya meletakkan harapan yang tinggi dan sentiasa
berdoa agar cucu saya ditemui walau pun rumah yang dibawa arus telahpun
diganti dengan rumah baru namun perasaan sugul dan sedih masih
menghantui hidup kami sekeluarga,” ujarnya.
Mohd
Abd Ghani turut berharap program seperti ini dapat dilaksanakan secara
berterusan bagi memulihkan semula emosi penduduk yang terjejas banjir
yang kini masih lagi trauma dan resah.
Program
ini diisi dengan ceramah, forum dan pameran kesihatan untuk memberi
kesedaran kepada masyarakat setempat tentang kesihatan mental di samping
pemeriksaan kesihatan dan saringan kesihatan mental yang dibuat untuk
mengesan tanda-tanda awal penyakit fizikal dan mental yang dihadapi oleh
peserta yang diharapkan perawatan dan intervensi dapat dilaksanakan
secepat mungkin bagi membantu pemulihan segera.
Program
ini dirasmikan oleh Ketua Jajahan Kuala Krai, Haji Tengku Azmi Haji
Tengku Jaafar. Yang hadir sama ialah Presiden ‘Malaysian Psychiatric
Association, Prof. Dr. Nor Zuraida Zainal, Penyelaras ‘Psychological
First Aid (PFA) HUSM, Dr Asrenee Ab Razak serta wakil-wakil agensi yang
terlibat. - Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid & Mohd Hafiz
Yaacob/Suntingan: Mohamad Abdullah/Foto: Wan Ahmad Nizamuddin Wan Ahmad
Sukri
No comments:
Post a Comment